Secret Garden Gua Kelam Selepas Setahun Dilanda Banjir
Percutian

Secret Garden Gua Kelam Selepas Setahun Dilanda Banjir

Entri percutian keluarga diteruskan dengan kisah melawat Gua Kelam, Perlis.

Hari pertama kami sekeluarga bermalam di rumah adik saya di Nibong Tebal. Malam kedua kami tinggal di Hotel T, Kuala Perlis.  Bagi saya ini adalah hotel bajet yang paling best , b erhadapan dengan Jeti Kuala Perlis.  Bilik air yang  bersih.  Kami ambil 2 bilik dengan harga RM 89 sebilik + sarapan.

Nota : Nombor telefon T Hotel Kuala Perlis –  04 -9852888 /04-9853888

T Hotel Kuala Perlis

Awal pagi ketiga, kami bertolak ke Gua Kelam melalui bandar Kangar.

Gua Kelam terletak di Banjaran Nakawan di dalam Hutan Simpan Wang Mu iaitu sebahagian daripada Taman Negeri Perlis. Gua yang berukuran 370-meter panjang terletak di Kaki Bukit yang jauhnya lebih kurang 36 km dari bandar Kangar. Kalau nak ke Gua Kelam, ikut saja arah ke Wang Kelian kerana lokasi kedua tempat ini berdekatan.

 

Tak banyak gambar kerana terlupa nak charge bateri kamera pada malamnya.  Masing-masing sibuk nak mengecas telefon masing² sampai terlupa bateri kamera.  Gambar dari telefon ada tetapi agak kelam seperti nama guanya juga…hiks!

melawat gua kelam
Pintu masuk ke Gua Kelam, Perlis

Gua Kelam dibawah pengurusan Unit Taman Negeri ,Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan tiket berharga RM 1.00 dikenakan kepada pengunjung yang ingin memasuki gua tersebut. Di luar bahagian gua adalah kawasan rekreasi untuk perkelahan. Ada sungai yang sesuai untuk mandi dan berkelah bersama keluarga.  Kemudahan tandas awam dan tempat meletak kenderaan juga selesa.

Gua Kelam dibuka  untuk lawatan pada hari Selasa sehingga hari Ahad bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Pada hari Isnin pula operasi Gua Kelam ditutup bagi menjalankan kerja-kerja penyelengaraan.

 

gambar gua kelam perlis
Gua Kelam yang mempunyai terowong semula jadi sepanjang 370 meter

Berbanding dengan Gua Tempurung yang saya lawati pada hari sebelumnya, laluan di dalam Gua Kelam lebih mudah dan mendatar. Gua Tempurung mempunyai banyak anak tangga dan perlu mendaki.

Untuk merentasi ke dalam gua , terdapat sebuah jambatan kayu untuk pelawat memasuki gua ini sehingga ke pintu satu lagi.  Laluan ini macam terowong kerana kita akan keluar di satu lubang di akhirnya.

Taman Rekreasi Gua Kelam
Taman Rekreasi Gua Kelam

Ada sungai yang mengalir di bawah jambatan sepanjang laluan tersebut.Sungai bawah tanah ini adalah fenomena kejadian semulajadi yang mengalir melalui banjaran batu kapur . Ada lamput yang menerangi laluan untuk memberi peluang pelawat menikmati keindahan keadaan di dalam gua.

secret garden gua kelam perlis

Selepas melepasi laluan berjalan di dalam gua, kita akan sampai kebahagian sebelah lagi pintu gua. Macam taman larangan istana. Ada kerja-kerja menaiktaraf dengan penanaman pelbagai jenis bunga dan reka bentuk landskap sedang dijalankan.

Suami dan anak-anak lelaki saya menjelajah jauh ke dalam gua sehingga bertemu dengan satu landasan keretapi yang menjadi tanda tanya. Ada lampu trafik light di dalam sana. Dari pertanyaan dengan makcik² yang menjaga tandas awam, mereka bercerita bahawa suatu masa dulu, terdapat sebuah keretapi mini yang disediakan kepada pengguna.

Tetapi perkhidmatan kereta api mini di Gua Kelam telah diberhentikan perkhidmatannya pada bulan September 2009 akibat hilang kawalan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan 12 pelancong termasuk tujuh murid, empat guru dan seorang pemandu pelancong cedera ringan.

Menurut cerita, gerabak kereta api mini tersebut menggelongsor turun beberapa meter sebelum merempuh penghadang di stesen akibat bekalan elektrik yang terputus ketika mendaki bukit di dalam Gua Kelam.

( sumber : utusan online 28 Sep 2009 & kosmo 16 Okt 2012 )

Gua Kelam pernah ditutup kepada pengunjung sebanyak 2 kali kerana kerosakan teruk akibat banjir besar yang melanda Perlis  pada November 2010 dan 2011.  Ada beberapa video di youtube yang dikongsi menunjukkan keadaan banjir besar yang melanda Gua Kelam pada waktu itu.  Buat carian ‘Air Banjir Perlis’  atau ‘ Banjir Besar 2010 Gua Kelam’.

Kalau ke Perlis tanpa mengunjungi Gua Kelam rasa seperti tidak lengkap kerana Gua Kelam adalah satu destinasi pelancongan yang menarik untuk seisi keluarga.   Selepas melawat Gua Kelam, kami ke Wang Kelian dan memasuki Satun, Thailand.  Kena tunggu entri seterusnya untuk edisi membeli belah… :p

Nampaknya seminggu lagilah blog ini akan diupdate dengan informasi tempat menarik sepanjang lawatan percutian kami sekeluarga.

  1. Kota Kuala Kedah – Pelabuhan Jadi Saksi, Dermaga Tua Menanti
  2. Tanpa Papantanda, GPS Temukan Kami Dengan Jambatan Pulau Bunting
  3. Stalaktit dan Stalagmit Di Gua Tempurung

Pemilik tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat di dalam laman ini. Jika anda memerlukan perkhidmatan nasihat yang khusus, sila dapatkan pakar bertauliah dan berpengetahuan di dalam bidang berkenaan. Untuk biodata penuh boleh lihat di Biodata Kujie

16 thoughts on “Secret Garden Gua Kelam Selepas Setahun Dilanda Banjir

  1. Saya pernah pergi ke gua ni pada Disember 2011 tapi ditutup kerana kerosakan akibat banjir. Saya bercadang nak ke guya kelam ni pada hari Ahad (2 Disember 2012). Adakah ia telah dibuka semula?

  2. Sempat juga berkunjung ke gua kelam beberapa tahun lepas kerana ada urusan di Perlis pada waktu tu. Lokasi seperti kawah tu, memang membuat saya terpegun seketika waktu pertama kali melihatnya, tapi waktu tu pergi sebentar sahaja, tak sempat nak berkelah di sana.
    Jom terjah post menarik dari Eizil ..Anda tanya Eizil jawab #siri 1My Profile

Comments are closed.