Pagi Khamis lepas, tiba-tiba seekor kucing cedera yang teruk tiba di rumah. Kucing ini memang biasa datang ke rumah dan kerap kali juga saya beri dia makan. Kami namakan dia OG ( Oren Gebu ). Dia kucing liar yang tidak pernah disentuh. Hubungan kami serapat 1 meter sahaja. Kalau melepasi zon tersebut, dia akan melarikan diri.
Pagi tersebut, OG masuk ke dalam rumah terincut-incut dengan 3 kaki. Saya tahu dia cedera tetapi tidaklah memberi perhatian kerana mungkin cedera ringan. Sekejap dia dipenjuru bilik dapur, sekejap di bawah meja dan tiba-tiba hilang dari pandangan mata.
10 minit kemudian saya jumpa dia di dalam salah satu bilik di rumah kami. Seluruh bilik berbau busuk. Saat itu barulah saya sedar, OG cedera teruk.
Saya bawakan cage, tolak badan OG ke dalam dan bawa OG ke klinik haiwan. Biasanya dia sering mengelak menjauhkan diri tetapi mungkin terlalu sakit, dia rela diperlakukan apa saja.
Belum lihat kecederaan, doktor dah cakap kucing ini berulat. Naifnya saya kerana tidak tahu bahawa tanda luka berulat adalah bau yang busuk. Kalau cedera yang masih baru, lalat belum hinggap dan bertelur sehingga menetaskan ulat. Ulat yang memakan isi daging kaki OG menyebabkan bau busuk terhasil.
Selepas dibius, semua ulat yang terdapat di kaki kucing ini dikeluarkan. Proses ini mengambil masa hampir 1 jam setengah. Menurut doktor, luka ini kemungkinan dah seminggu dan mula berulat sejak 4 hari lepas berdasarkan saiz ulat tersebut.
Bila semua ulat dikeluarkan, doktor letak ubat dan spray antibiotik.
Untuk menyembuhkan kaki kucing yang luka, biarkan saja tak perlu dibalut. Cuma kita kena pastikan tak ada lalat yang hinggap dan bertelur di tempat luka tersebut. Bau yang terhasil akan menarik perhatian lalat, jadi buatlah kelambu menutupi sangkar kucing.
Saya guna langsir.
Nak bagi kucing makan ubat juga bukan senang. OG ni tak garang tapi disebabkan dia tak pernah disentuh manusia, badannya mengeras dan tegang tiap kali nak pegang. Nak angkat kepala pun tak mahu. Saya hancurkan ubat dengan air dan gunakan picagari (syringe ) pam ubat melalui tepi mulut. Alhamdulillah cara ini berkesan untuk OG.
Pil warna merah tu adalah ubat penenang ( sedatif ) , pil kucing antibiotik dan warna putih adalah ubat tahan sakit.
OG pada hari ke-3 – luka makin kering, tiada tanda-tanda ulat. Tiap hari baca Jurnal…. seminggu dah bijak OG ni, boleh ambil PT3 macam Intan…ha ha ha.
Sementara dalam kurungan, saya ambil peluang untuk bersihkan badan OG. Saya lap badan dan telinga OG dengan tuala lembab yang dicampur cecair dettol.
Moga OG cepat sembuh.
Notakakikujie : saya pun tak punya banyak masa menulis di blog sekarang…cuma catatan ringkas diari kehidupan. Mak mertua sihat, cuma simen di kaki belum dibuka. Temujanji hujung bulan nanti.
Kujie, kucing saya pernah digigit anjing dan kesan gigitan bernanah dan mereputkan isi, kulit hingga nampak tulang. sambil letak ubat saya akan menangis. Alhamdulillah setelah sebulan, luka kering dan sembuh.
Alhamdulillah banyak pahala k kujie 🙂
Kesiannya tengok kucing ni….Alhamdulillah kak kujie prihatin terhadap kucing ni bawa ke klinik….moga mendapat pahala banyak…dan moga si Oren Gebu cepat sembuh….