Kemana Cambodian Muslim Cooperatives Salurkan Derma Yang Blogger Kutip?
Motivasi

Kemana Cambodian Muslim Cooperatives Salurkan Derma Yang Blogger Kutip?

Entri ini adalah siri Kembara Kemboja yang agak formal dan panjang saya tulis. Selain daripada melancong melawat tempat menarik di Kemboja, tujuan kami adalah mengunjungi tempat yang diusakan masyarakat Islam Kemboja. Ini adalah siri utama lawatan kumpulan blogger bersama EQurban.

Boleh baca entri lain mengenai percutian di Kemboja di sini

CMCblogger kemboja

Lawatan dengan tema Jejak Rehlah Dakwah Dan Mujahadah – Blogger Mengemban Tanggungjawap Sosial  seramai 12 termasuk Dr A Aziz Ibrahim Naib Presiden INSPEN dan Ketua Pegawai Eksekutif eQurban,Haji Muhamad Khanafi Husin bertolak dari KLIA ke Phnom Phen pada 18 Disember 2013.

Ketibaan kami telah disambut oleh pihak CMC. Cambodian Muslim Cooperatives (CMC) atau Koperasi Muslim Kemboja adalah badan bebas bukan politik yang menawarkan perkhidmatan kemanusiaan dan kerjal amal dalam komuniti  Islam majoriti penduduk Kemboja.

CMC telah ditubuhkan pada 01/01/2009 sebagai satu keperluan sokongan dengan matlamat utama penubuhan adalah berusaha membantu penderitaan rakyat yang memerlukan dan membawa peningkatan berkekalan dalam kehidupan penduduk muslim Kemboja.

Majoriti masyarakat Melayu Champa hidup dalam kemiskinan berbanding dengan kaum Khmer di Kemboja. Ini adalah kerana golongan Melayu Champa menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai sewaktu zaman pemerintahan rejim komunis Pol-Pot di Kemboja pada tahun 1975-79.

 

CMCCambodia Muslim Cooperative

CMC bertekad memberikan kesedaran pendidikan kepada penduduk Islam Kemboja melalui inisiatif prasekolah termasuk peluang-peluang biasiswa dan program pendidikan dewasa dengan membina sekolah, menyediakan bahan-bahan pendidikan dan membangunkan program-program pengajian.

Melalui pendidikan, diharap penduduk majoriti ini dapat membangunkan kemahiran yang mereka perlukan untuk mencipta masa depan yang mampan, lebih cerah untuk diri mereka sendiri dan masyarakat.

CMCcambodian islamic center

Hari pertama lawatan kami berkunjung ke sekolah lelaki Cambodian Islamic Center di Kampung Chroy Metrey wilayah Kandal.  Sekolah ini dibawah pemantauan CMC

melawat Cambodian Islamic Centre
Bersama rombongan kami adalah Dr A Aziz Ibrahim Naib Presiden INSPEN yang memgetuai taklimat dan sesi soal jawap mengenai peluang melanjutkan pelajaran pelajar Tingkatan 6 ini ke Malaysia.

Kolej Antarabangsa INSPEN (Industri Perindustrian Negeri Selangor) akan membawa 5 daripada pelajar lelaki ini ke Malaysia untuk mengikuti latihan kemahiran vokasional.

CMC

Sayu pula bila saya tengok gambar ni…. merenung masa depan yang cerah, InsyaAllah

Nurul Iman Chroy Metrey School
Terletak tidak jauh dari sekolah pelajar lelaki CIC, kami ke tepi Sungai Mekong melawat sekolah pelajar perempuan Nurul Iman Chroy Metrey School (NICS)

Masjid Ar-Rahmani Kampung Chroy Metrey
Sekolah Nurul Iman berdekatan Masjid Ar-Rahmani Kampung Chroy Metrey. Ini adalah masjid lama sementara masjid baru sedang dalam pembinaan.

CMCmasjid di kemboja

Disebelah kanan adalah Masjid Ar-Rahmani dan di sebelah kiri adalah kelas untuk pelajar perempuan. Bahagian tingkat atasnya sedang dibina. Terus melalui lorong ini adalah Sungai Mekong dan Restoran Nurul Iman terletak di anjung pesisir Sungai Mekong.

CMC menjadikan masjid, sekolah atau madrasah yang sebelum ini banyak terbiar sebagai pusat kegiatan masyarakat. Usaha membina bangunan sekolah di masjid-masjid yang sedia ada sebenarnya adalah satu pendekatan bersifat membantu masyarakat bukan individu.

pelajar perempuan sekolah menengah
Sebahagian daripada pelajar perempuan Nurul Iman Chroy Metrey School bersama rombongan kami di dalam masjid sewaktu majlis ceramah dan taklimat ringkas.  Seragam sekolah mereka seperti yang dipakai pelajar kita di Malaysia kerana ramai rakyat Malaysia yang menyalurkan derma melalui CMC.

nasi kabsa kambing
Nasi Kabsa Kambing menu hari pertama lawatan yang disediakan oleh Restoran Nurul Iman.

Restoran Nurul Iman Choy Metrey

Hari kedua, makan tenghari adalah menu istimewa Ikan Toman.  Penduduk Choy Metrey menternak ikan toman di dalam kolam sebagai salah satu sumber mata pencarian.

Restoran ini bukan saja memberi banyak kemudahan kepada masyarakat islam untuk mendapatkan makanan halal , malah dibina bertujuan membantu mengembangkan kegiatan ekonomi bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Kombinasi pakej perlancongan yang disediakan oleh CMC turut menyediakan restoran halal di Kemboja untuk pelancong.

kolam ikan toman CMC

Salah satu cabang untuk memgembangkan ekonomi penduduk setempat adalah melalui ternakan ikan toman di dalam kolam.  CMC sendiri mempunyai 10 kolam ikan toman yang sedang diusahakan.

Segala aktiviti yang diusahakan oleh pihak CMC adalah bantuan dan sumbangan yang kukuh dari akar umbi seperti memberi pendidikan dan latihan teknikal supaya penduduk membuka minda untuk berdaya saing bersama penduduk lain di Kemboja.

Memberi peluang pendidikan dan membuka ruang menjana ekonomi akan membantu penduduk Islam Kemboja yang selama ini tersisih jauh bertaburan di luar bandar.  Infrastuktur yang kurang, jarak antara satu lokasi penempatan penduduk Islam menjadi sukar.

Masyarakat Islam Kemboja mempunyai keperluan yang besar kepada guru-guru dalam mendidik dan mengajar anak-anak negerasi kini mengenai Islam. Pada masa kini, terdapat dua jenis guru Islam. Pertama , mereka yang lulus dengan ijazah Sarjana Muda dari universiti-universiti luar negara seperti Arab Saudi , Libya, Malaysia, Mesir dan lain-lain . Kedua , mereka yang memiliki ilmu pengetahuan Islam melalui kaedah tradisional tanpa sebarang sijil.

Majoriti kumpulan pertama guru ditaja oleh beberapa organisasi asing tetapi penajaan itu tidak mencukupi bagi mereka untuk terus hidup. CMC memerlukan sumber berterusan untuk guru membiayai keluarga mereka dan tanggungan mereka kerana kebanyakkan sumber datangnya dari bantuan zakat, derma daripada penduduk kampung, organisasi asing dan penderma luar negara.

Sebahagian daripada mereka menerima zakat atau derma dengan nilai 50 USD setiap bulan malah kebiasaannya menerima kurang daripada itu.

Untuk membiayai semua urusan dari pengurusan dan keperluan, membina sekolah dan masjid, gaji dan sara hidup guru-guru, CMC telah mengusahakan beberapa projek jangka panjang hasil daripada sumbangan pelbagai pihak.

Melalui projek Qurban dan Akikah di Kemboja yang di anjurkan oleh eQurban, CMC telah menternak lembu sendiri di ladang mereka di Sterng Treng.  CMC juga mempunyai ladang ternakan ayam, bukan saja untuk keperluan daging halal kepada penduduk Islam tetapi mengembangkan eknomi masyarakat itu sendiri.

Bagi memastikan semua rancangan pendidikan jangka panjang ini dapat diteruskan, CMC bersama eQurban membeli tanah untuk waqaf khusus bagi pembiayaan aktiviti pendidikan. Sumbangan perbagai pihak terutama rakan-rakan blogger dan rakaniaga equrban.com termasuk masyarakat muslim Kemboja sendiri yang turut terlibat sama membeli tanah waqaf dengan memulakan jualan lot -lot kecil.

tanah wakaf

Ada telaga yang menggunakan pam yang disedut dari dalam tanah untuk aktiviti pertanian di sini.

pokok getah tanah wakaf
Saya dah lupa berapa luas kebun getah ni… kami ramai-ramai berjalan di tengah kebun di bawah mentari terik tanpa rasa perit. Rasa damai rasa syukur rada tenteram yang sukar digambarkan. Tanah ini bukti.

CMC2013-12-21 14.23.01
Kebun getah pertama yang diusahakan telah pun mengeluarkan hasil.  Ladang ini yang hasil sumbangan yang pernah dikutip oleh ramai rakan blogger termasuk eQurban, Al-Ansar.

Bila menjejak usaha-usaha ini, saya rasa sebak dan gembira pada masa yang sama.  Lihatlah rakan-rakan, sumbangan kecik kita yang entah bila disalurkan pun dah lupa..rupanya menjadi sesuatu yang sangat bererti kepada penduduk Islam Kemboja.

CMC2013-12-28 17.14.09

Selama 4 hari di Kemboja, kami juga bergerak ke beberapa sekolah agama dan masjid untuk menyampai sumbangan yang dikirimkan rakan-rakan blogger dari Malaysia.

CMCmasjid ar rafeeah tonle sap
Masjid Ar-Rafee’ah Tonle Sap, Siem Reap.

CMCsekolah dubai stoeng kampung cham

Sekolah Dubai Stoeng di Kampung Cham.  Paling kanan adalah Makcik Kantin.  Bukan ada kantin pun, dia berniaga di kaki lima bangunan sekolah. Sekali kami serbu, habis jualan dia.

CMCbantuan

Lihat sekolah mereka, lihat anak-anak ini… mereka sangat memerlukan sokongan dan dorongan untuk mengubah masa depan mereka yang lebih baik.

Dikesempatan ini, saya bersama suami dan Intan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak eQurban terutamanya Haji Masrukhin termasuk Denaihati Network yang menguruskan lawatan ini dengan begitu baik dan mencapai matlamat yang diharapkan.  Selain lokasi popular, lawatan seperti ini banyak memberi kesedaran untuk bermujahadah diri mengenai ruang dan peluang yang terbentang luas berbanding mereka rakan seagama di Kemboja.

Alhamdulillah, ini bukan cuti melancong yang biasa!  Korang pun boleh membantu mereka dengan membuat tempahan qurban atau akikah di Kemboja.  Baca Cara Membuat Tempahan Korban dan Akikah Di Kemboja

Pemilik tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat di dalam laman ini. Jika anda memerlukan perkhidmatan nasihat yang khusus, sila dapatkan pakar bertauliah dan berpengetahuan di dalam bidang berkenaan. Untuk biodata penuh boleh lihat di Biodata Kujie

20 thoughts on “Kemana Cambodian Muslim Cooperatives Salurkan Derma Yang Blogger Kutip?

  1. subhanallah . . . .
    tidak terucap dengan kata2.. dari gambar dan ulasan kak jie cukup membuaikan perasaan maza.

    hari ini maza bertekad untuk teruskan bersedekah dan bersedekah demi agama Tauhid ini…..

    takbir!

  2. masih terkenang-kenang dalam memori.. suatu perjalanan yang indah. CMC melakukan yang terbaik untuk mereka disana…

  3. sesungguhnya kita patut bersyukur dengan kemudahan pendidikan yang ada di Malaysia

    mudah-mudahan infaq yang disumbangkan ke sana memberi manfaat

Comments are closed.