Bersalah Tu Berdosa Tak?
Motivasi

Bersalah Tu Berdosa Tak?

Soalan:

Kita berdosa kalau buat apa yang dilarang Allah, maksudnya tinggalkan apa yang disuruh. Macam tak solat, tak puasa dan hal² agama.

Adakah kita berdosa jika kita melanggar undang² dunia – contoh undang² jalanraya.

Adakah kita bersalah, sekadar bersalah , tak berdosa kalau kita buang sampah merata-rata sedangkan ada larangan tersebut.

Adakah kita berdosa memandu melebihi had yang dibenarkan.

Maksud anak saya, bila kita buat perkara2 yang menjadi kesalahan, melanggar undang² peraturan dunia ( biasanya untuk kebaikan kita juga ) adalah kita hanya bersalah . Adakah bersalah itu sehingga menjadi dosa?

Mohon ustaz bantu saya menjawap pertanyaan anak saya ini dengan penerangan yang mudah untuk diterima olehnya.

Terimakasih.

Jawapan:

Dalam Islam hukum-hakam terbahagi kepada lima:

1. Halal
2. Haram
3. Harus
4. Makruh
5. Sunat

Perkara-perkara yang halal dan haram biasanya secara jelas termaktub dalam al-Quran ataupun hadis sebagaimana larangan memakan babi, meminum arak, judi dan sebagainya.

Asasnya, segala benda/ perkara di dunia ini adalah halal sehingga ada dalil sama ada daripada al-Quran ataupun Hadis yang mengharamkannya.

Justeru undang-undang dunia yang bersifat teknikal pada asalnya adalah harus sahaja dipatuhi seperti lampu isyarat dan sebagainya. Dalam Islam ada hukum takzir, iaitu hak sesebuah kerajaan menjalankan undang-undang yang difikir sesuai dengan keadaan setempat dan masa, dan undang-undang tersebut tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan Hadis.

Secara asasnya tidak berdosa, namun apabila ada perkara yang buruk berlaku melibatkan orang lain dek kerana ketidakpatuhan kita kepada undang-undang yang hukumnya harus itu, maka ia akan menyebabkan kita berdosa.

Sebagaimana contoh kita tidak mematuhi arahan lampu isyarat yang sudah merah, lantas menyebabkan sebuah kemalangan yang dahsyat, maka kita disifatkan sebagai berdosa kerana menyebabkan kecelakaan kepada orang lain akibat ketidakpatuhan kita kepada undang-undang jalan raya.

Begitu juga dalam urusan pembuangan sampah, tidak ada satu ayat atau hadis yang menyatakan bahawa membuang sampah merata-rata tempat itu berdosa, namun apabila ia menyebabkan kesan yang melibatkan orang lain, hukumnya akan berubah. Hukum asalnya yang makruh boleh menjadi haram. Apabila haram maka ia dikategorikan sebagai berdosa. Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman?

Secara mudahnya, segala perkara yang membawa keburukan kepada manusia secara amnya adalah haram dan berdosa jika dilakukan. Sekali pun asalnya ia tidak haram secara mutlak namun boleh membawa kepada haram sekali gus berdosa.

Contohnya lagi seseorang yang menunggang motorsikal, hukum asalnya adalah harus. Namun apabila ditunggang oleh Mat Rempit bagi tujuan berlumba haram dan membahayakan nyawa mereka serta orang lain, maka haram hukumnya. Apabila haram secara automatik si pelaku akan berdosa.

Wallahulam.

Post ini disediakan oleh Zahiruddin Zabidi dari kalamkhalifah.com , Seorang editor di salah sebuah syarikat penerbitan buku-buku Melayu tersohor di Malaysia. Beliau juga adalah penulis novel sejarah Islam bertajuk Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi (2010) dan Aminah: Cinta Puteri Quraisy (2010) juga sebuah karya motivasi keagamaan berjudul Bukan Susah Nak Faham (2011).

Pemilik tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh penggunaan maklumat di dalam laman ini. Jika anda memerlukan perkhidmatan nasihat yang khusus, sila dapatkan pakar bertauliah dan berpengetahuan di dalam bidang berkenaan. Untuk biodata penuh boleh lihat di Biodata Kujie

2 thoughts on “Bersalah Tu Berdosa Tak?

  1. Tak berdosa tp dianggap salah, berdosa tp dianggap tak salah, ok contohnya tinted cermin keta sendiri (harta sendiri bukan harta awam), berdosa kah? tp dianggap salah dan disaman, duit saman tu cam na plak? bukan kah berdosa merampas harta (wang juga adalah harta )si yg dianggap pesalah dengan alasan undang2?

Comments are closed.